“Assalamualaikum Dr, maaf menganggu. Bole saya tanya.. Sejauh mana kebenaran sekiranya makanan dibakar,
adakah makanan trsebut mengandungi bahan plastik?”

Dr Rosni-
Setahu saya tiada bahan plastik tetapi ini jawapannya yang boleh saya berikan setakat pengetahuan yang ada:

BAHAYA MAKANAN DIBAKAR

Makanan berprotein yang dibakar atau dibarbeku pada suhu tinggi dalam jangka masa yang lama sehingga masak dengan sempurna akan juga menghasilkan kumpulan kumpulan bahan kimia yang dikenali sebagai amina heterosiklik (HCAs) dan juga aromatik hidrokarbon polisiklik (PAHs) bahagian makanan yang dibakar seperti daging lembu atau ayam yang hangus kehitaman dan juga asap dari titisan lemak yang terbakar di atas api terus (direct flame) didapati mengandungi HCAs dan PAHs pada kuantiti yang tinggi dan signifikan.

Bahan kimia dalam kumpulan di atas seperti N-Nitrosodimetilamina (NDMA) dan N-Nitrosodietilamina (NDEA) telah dikaitkan dengan kejadian pelbagai jenis KANSER seperti kanser kolon, kanser nasofarink dan kanser payudara. Misalnya dalam beberapa kajian saintifik yang dijalankan didapati wanita yang kerap memakan daging salai, barbeku dan dibakar serta dalam masa yang sama kurang memakan buah buahan dan sayur sayuran telah didapati berisiko lebih tinggi untuk menghidapi kanser payudara.

Langkah-langkah boleh diambil untuk kurangkan risiko kehadiran HCAs dan PAHs serta kejadian kanser ialah:

1) Pilih daging tanpa lemak untuk dibarbeku atau dibakar bagi elakkan kehadiran PAHs

2) Bakar pada suhu lebih rendah dan kurangkan sentuhan dengan api secara terus

3) Cuba pertimbangkan untuk dibuat pra-pemasakan (seperti pemanggangan atau pembakaran dalam oven) sebelum dibakar bagi percepatkan proses pembakaran untuk masak secara sempurna

4) Buang bahagian yang hangus/hitam terbakar sebelum dimakan

5) Gaul dan perapkan dagingan bersama rempah ratus atau herba kerana menurut kajian herba perapan boleh mengurangkan kehadiran HCAs secara signifikan dalam daging yang dibakar

6) Elakkan pemasakan terlampau (overcooking) melalui penggunaan termometer semasa membakar makanan berprotein tersebut

Sumber rujukan:
1) Dr. Mohd Rosni Sulaiman, Pensyarah Toksikologi Makanan di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS
Merangkap Pengasas dan Perunding di DSakinah Holistic Therapy Center, Alamesra Kota Kinabalu hp 0198620380

2)http://www.breastcancer.org/risk/factors/grilled_food